Pembangunan Perumahan Transit Belia (MyTransit) 2010

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan akan memulakan pembinaan Perumahan Transit Belia (MyTransit) pada awal bulan depan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata program berkenaan bagi membantu golongan muda bawah umur 40 tahun melalui penyediaan perumahan transit sehingga mereka mampu membeli rumah sendiri yang lebih baik dan selesa.

Katanya, projek berkenaan membabitkan kerjasama pihak swasta dan kerajaaan secara ‘cross subsidy unit’ yang mana dalam plot tanah akan dibina MyTransit, manakala selebihnya Rumah Mampu Milik (RMM) yang akan dijual kepada pembeli yang layak.

“Kadar sewaan MyTransit ini 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan kerajaan bersetuju menetapkan kadar sewa dari RM400 hingga RM500 sebulan mengikut keluasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan MyTransit dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan di sini, hari ini.

Sebanyak 2,010 unit MyTransit dan 3,824 unit RMM akan dibangunkan BMG Global Sdn Bhd di atas lot tanah di Batu Muda, Selangor dan Kepong, Kuala Lumpur, manakala kerajaan menyediakan tanah tanpa perlu mengadakan sebarang kos pembangunan.

Projek ini dijangka siap dalam masa empat tahun. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan pelaksanaan pembinaan 10,000 unit rumah transit terutama di bandar utama di negara ini khusus bagi membantu golongan muda.

Noh berkata, penyewa MyTransit boleh tinggal selama lima tahun dan sepanjang menyewa mereka dikenakan tabung simpanan yang akan dipulangkan selepas tamat tempoh penyewaan bagi membantu mereka berpindah, selain menyediakan deposit bagi pembelian rumah lain.

Beliau berkata, MyTransit akan turut dilengkapi perabot asas bagi memberi keselesaan kepada penyewa dan membantu meringankan perbelanjaan mereka terutama yang baru mendirikan rumahtangga.

Katanya, program awal ini menjadi perintis kepada kerajaan menyediakan sasaran 10,000 unit MyTransit dan konsep yang sama akan diguna pakai bagi dibangunkan di kawasan lain yang akan dikenal pasti.

Sementara itu, Noh ketika berucap pada majlis perhimpunan berkenaan, mahu kakitangannya menyegerakan sesuatu dasar yang diumumkan kerajaan supaya tidak menjadi kecaman dan tohmahan rakyat terhadap kredibiliti kerajaan.

Compare items
  • Total (0)
Compare