Harga RON95 kini tak lebih RM2.08

Kerajaan mengurangkan harga siling RON95 sebanyak 12 sen dan harga runcit maksimum sekarang adalah RM2.08 seliter.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan bahawa harga siling bagi petrol RON95 akan dikurangkan sebanyak 12 sen.

Katanya, mesyuarat kabinet hari ini bersetuju supaya had pengekalan harga runcit petrol RON95 yang pada masa ini pada paras RM2.20 seliter dikurangkan kepada RM2.08 seliter.

“Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan pada RM2.08 seliter sungguhpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, harga runcit petrol RON95 berada pada RM2.08 seliter manakala RON97 berada pada RM2.38 seliter dan diesel pula pada RM2.18.

Harga siling diesel kekal sama pada RM2.18 seliter. Tidak ada harga maksimum ditetapkan untuk RON97.

Beliau berkata bahawa harga minyak akan terus dikaji setiap minggu sehingga sistem subsidi bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.