Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50)

Tahukah anda?

Jika anda membuat tabungan Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) sebaik saja anak anda dilahirkan, mereka bakal memiliki simpanan hampir RM20,000 setelah mencecah usia 18 tahun!

Khas untuk bayi yang dilahirkan pada 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022, 200 unit amanah saham akan diberikan secara percuma sebagai permulaan.

Apakah itu Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50)?

ADAM50 merupakan satu program baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (“PNB”) kepada semua bayi warganegara Malaysia, yang lahir dalam tempoh masa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Objektif utama ADAM50 adalah untuk menggalakkan budaya simpanan dan pelaburan rakyat Malaysia daripada seawal usia baru lahir, dengan pemberian unit insentif percuma sebagai modal pelaburan permulaan.

Unit insentif percuma akan dikreditkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) bagi bayi bukan Bumiputera setelah proses pendaftaran dibuat di Cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (“ASNB”) dan Ejen ASNB*.

*ASNB ialah anak syarikat milik penuh PNB yang bertanggungjawab untuk mengurus tabung unit amanah ASB dan AS 1Malaysia.

Apakah ciri-ciri istimewa program ini?
Ibu bapa/penjaga berdaftar atau pihak ketiga boleh menambah pelaburan dalam akaun bayi mereka sehingga had maksimum yang ditentukan iaitu had terkini Akaun Bijak/Remaja ASB bagi Bumiputera dan had 50,000 unit ditetapkan untuk AS 1Malaysia bagi bukan Bumiputera. Had pelaburan maksimum ini adalah termasuk 200 unit insentif yang diberikan.
Berapakah jumlah unit insentif yang diberikan?
Sebanyak 200 unit percuma diperuntukkan bagi setiap bayi warganegara Malaysia yang lahir dalam tempoh masa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.
Adakah unit percuma ini boleh dijual balik?
200 unit insentif dan semua pengagihan pendapatan serta sebarang pengagihan tambahan yang diperolehi (sekiranya ada) dari unit insentif ini hanya boleh dikeluarkan setelah anak mencapai usia 18 tahun.
Bolehkah pendaftaran ADAM50 dilakukan pada bila-bila masa?
Pendaftaran hendaklah dilakukan dalam tempoh maksimum setahun selepas tarikh lahir bayi tersebut.Sebagaimana contoh, sekiranya bayi dilahirkan pada 2 Januari 2018, ibu bapa atau penjaga berdaftar hendaklah melakukan pendaftaran selewat-lewatnya pada 2 Januari 2019. Sekiranya ibu bapa atau penjaga gagal mendaftar dalam tempoh tersebut, kelayakan untuk menadapatkan unit insentif percuma akan terbatal.
Siapakah yang layak untuk melakukan pendaftaran ADAM50?

Syarat umum pendaftaran akaun ADAM50 adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia
    1. Bumiputera – ASB
    2. Bukan Bumiputera – AS 1Malaysia
  2. Ibu bapa atau penjaga berdaftar hendaklah berumur 18 tahun dan ke atas sewaktu pendaftaran dilakukan

Sekiranya pendaftaran dilakukan oleh individu selain ibu atau bapa kepada bayi tersebut, dokumen sokongan seperti surat pertalian darah atau Perintah Mahkamah hendaklah dibawa bersama.

Bolehkah peserta ADAM50 menarik diri selepas pendaftaran dilakukan?
Peserta tidak boleh menarik diri setelah pendaftaran dilakukan, melainkan peserta tidak lagi memenuhi kriteria kelayakan am pelaburan ASNB, sebagai contoh status pertukaran Wargenegara.
Bilakah ADAM50 akan mula dilaksanakan?
1 Januari 2018.
Adakah terdapat sebarang kuota berdasarkan etnik bagi ADAM50?
Tiada. Unit yang diperuntukkan dalam AS 1Malaysia bagi tujuan ADAM50 adalah terbuka kepada semua bayi warganegara Malaysia bukan Bumiputera, tanpa mengira etnik.
Berapa lamakah tempoh penyertaan ADAM50?

Akaun peserta akan mencapai tempoh matang setelah mencapai usia 18 tahun. Selepas itu, status akaun akan berubah menjadi Akaun Dewasa dan segala unit insentif beserta pengagihan pendapatan (sekiranya ada) boleh dikeluarkan seperti biasa.

Had maksimum individu peserta juga akan berubah mengikut had individu sedia ada bagi Akaun Dewasa ASB (bagi bumiputera), manakala tiada had bagi AS 1Malaysia, tertakluk kepada baki tabung sedia ada.

Jom daftar ADAM50 untuk anak anda di mana-mana cawangan atau ejen Amanah Saham Nasional Berhad.

Maklumat lanjut ADAM50 di http://www.asnb.com.my/v3_/adam50.php

error: Content is protected !!
Compare items
  • Total (0)
Compare